Filem di Televisyen
Mohd Adib Anas Bin Md Noor
Pengenalan
Mansor Ahmad Saman dalam Mohamad Md. Yusoff (1993), menyatakan pendapatnya bahawa:
Televisyen boleh kita gunakan untuk memancarkan dengan meluas budaya kita, cara hidup kita, perkembangan dan perubahan-perubahan yang berlaku dalam masyarakat kita, sejarah bangsa dan budaya kita, amnya dan ideal masyarakat kita dan daya cipta kreatif masyarakat.
Stesyen televisyen mempunyai hak dan kuasa untuk menetapkan rancangan dan program untuk penonton. Di Malaysia, terdapat tujuh buah stesyen televisyen. Stesyen-stesyen televisyen tempatan ialah Astro, Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang mempunyai dua stesyen TV iaitu TV1 dan TV2, serta TV3, 8TV, NTV7 dan Channel 9 di bawah Media Prima Berhad dan MiTV. Stesen-stesyen televisyen ini sentiasa bersaing untuk mendapat jumlah penonton tertinggi untuk sesuatu program atau rancangan yang disiarkan. Stesyen televisyen mempunyai slot tayangan filem sama ada tayangan filem-filem tempatan mahupun antarabangsa.
Filem-filem yang disiar atau ditayangkan di televisyen lebih menjurus kepada filem popular (komersial) berbanding dengan filem seni (artistik) dan stesyen televisyen pula meraih untung daripada menyiarkan filem-filem berkenaan. Hal yang demikian amat membimbangkan kerana ianya akan melemahkan pemikiran penonton dan seterusnya penonton terdidik dengan satu budaya pemikiran ringan serta pemikiran mereka tidak berkembang sekiranya filem-filem yang berunsurkan pemikiran atau ideologi dipersembahkan kepada mereka.
Definisi
Filem hanya merupakan bahantara seni gambar bergerak yang sekadar memapar luaran sahaja.
(Adman Salleh, 2004)
Filem adalah sebuah medium komunikasi yang menterjemahkan skrip (naratif) kepada bentuk visual dengan harapan mendidik masyarakat melalui imej, persoalan dan mesej-mesej yang terkandung dalam sesebuah filem. Melalui filem, komunikasi akan terjalin antara penonton dengan visual yang diterjemahkan oleh pengarah filem ke layar kerana ianya adalah sebuah medium yang menterjemahkan idea komunikasi. Apabila penonton mulai faham akan mesej yang disampaikan, maka komunikasi antara penonton dengan visual akan terjalin. Menonton filem adalah budaya hiburan yang popular. Penonton tidak perlu ke pawagam semata-mata untuk menonton filem. Kini, penonton boleh menikmati atau menonton sesebuah filem melalui medium-medium penyampai yang lain seperti televisyen, pita video, cakera padat (VCD) atau DVD di rumah.
Para sarjana mendefinisikan filem sebagai sebuah medium komunikasi yang menterjemahkan visual merangkumi bahasa (dialog) dengan perbuatan, pergerakan dan ekspresi. Visual yang diimejkan secara tidak langsung akan menggantikan bahasa (dialog) dengan perlakuan atau perbuatan. Dalam kata lain, filem adalah pergerakan imej yang terbentuk pada skrin atau layar seluloid melalui bantuan projektor (Ron Johnson dan Jan Bon, 1986). Filem adalah sebuah medium yang menghubungkan komunikasi antara pembikin filem dengan penonton. Apabila penonton menonton filem secara tidak langsung mereka akan mendapat input melalui imej dan mesej-mesej yang disampaikan melalui layar. Filem juga dibahagikan kepada tiga jenis iaitu filem arus perdana (cereka), filem dokumentari dan filem animasi. Filem arus perdana adalah filem kegemaran dan pilihan ramai kerana ianya berunsurkan hiburan.
Pentakrifan filem dari segi naratif, filem dianggap sebagai seni rekaan. Filem, tidak dirujuk sebagai bahan atau cara melakukannya. Perkataan filem itu sendiri sudah menjadi generic term. Apa-apa cerita yang divisualkan boleh dikategorikan sebagai filem sama ada untuk tayangan di pawagam mahupun di televisyen kerana yang membezakannya ialah format teknik rakaman. Perkataan filem ini boleh digunakan walaupun cerita itu dibikin atau divisualkan melalui format video mahupun filem. Filem juga ditakrifkan sebagai produk atau seni plastik yang dihasilkan melalui rakaman kerana melalui produk filem pengkarya yang merujuk kepada karyawan memberi nama atau judul filem untuk sesebuah drama cerita rekaan atau cereka (dramatic feature) (Prof. Dr. Hatta Azad Khan, 28 Mac 2006).
Mengkaji psikologi manusia, sememangnya naluri manusia suka kepada perkara-perkara yang menghiburkan dan meriangkan (A.Razak Mohaideen, 2004). Filem arus perdana dilihat sebagai filem yang menepati citarasa penonton. Melalui filem arus perdana, penonton dapat memilih jenis-jenis atau genre filem yang ingin ditonton. Terdapat pelbagai genre untuk penerbitan sesebuah filem. Antaranya ialah genre horror, science fiction, drama, melodrama, noir, western, perang, epik, komedi, muzikal, pengembaraan, kung-fu, gangster dan fantasi (Ayu Haswida Abu Bakar, Nota Kuliah, 31 Disember 2003). Kadang-kala penerbit atau pengarah akan menggabungkan beberapa genre bagi mempelbagaikan kisah dan tragedi dalam filem. Maka, terciptalah sub-genre filem seperti genre komedi romantik, naratif komedi, psiko seram, drama muzikal dan banyak lagi.
Filem dan Televisyen Budaya Popular
Menonton filem dan televisyen adalah budaya popular. Filem dan televisyen serta budaya popular adalah saling memerlukan. Budaya popular memerlukan medium filem dan televisyen dalam mempopularkan sesebuah budaya pop atau popular. Manakala, filem dan televisyen adalah medium penyampai budaya popular kepada penonton dan masyarakat. Diana Kendall (2000) menyatakan bahawa :
Popular culture consists of activities, products and services that are assumed to appeal primarily to members of the middle and working classes, including rock concerts, spectator sports, movies and television soap operas and situation comedy.
Budaya pop atau popular adalah budaya yang dicipta untuk tujuan perdagangan. Bagi mencapai sebaran ini, filem dan televisyen adalah medium yang bertepatan dalam mencapai matlamat ini supaya sampai kepada semua lapisan masyarakat. Mohamad Md. Yusoff (1993) menyatakan bahawa salah satu ciri utama budaya popular ialah sifatnya yang mempunyai penonton yang pelbagai dan berada di merata tempat dengan cara hidup, kepercayaan dan citarasa yang berbeza. Budaya popular memerlukan televisyen untuk menyampaikan mesejnya kepada masyarakat, begitu juga dengan televisyen yang memerlukan bilangan penonton yang tinggi.
Dalam konteks ini, jelas menunjukkan bahawa filem di televisyen berupaya menarik minat penonton untuk menonton. Stesyen televisyen juga berupaya menarik ramai penonton untuk menonton filem-filem yang ditayangkan. Dengan menyiarkan filem di televisyen, penonton secara tidak langsung akan menikmati hiburan yang agak murah jika dibanding dengan harga tiket yang akan dibeli oleh mereka untuk menonton filem di pawagam. Perkara ini secara tidak langsung akan mengurangkan jumlah penonton menonton filem di pawagam. Penonton sudah pasti akan memilih televisyen kerana ianya jauh lebih murah dan menjimatkan masa. Filem di televisyen yang ditonton oleh mereka sekaligus memberi peluang kepada mereka untuk tinggal di dalam rumah dan berhibur bersama ahli keluarga dan berupaya mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Fenomena ini akan mencetuskan sebuah budaya popular dikalangan masyarakat. Budaya popular yang dimaksudkan bukan sahaja melibatkan pemaparan budaya pop melalui visual yang ditayangkan malahan menonton filem di televisyen sudah memberi cetusan budaya terhadap masyarakat. Jika tontonan filem melalui televisyen sudah menjadi satu budaya terhadap masyarakat, stesyen televisyen haruslah memainkan peranan terpenting dalam memilih filem-filem yang berkualiti sejajar dengan budaya popular yang telah tercetus ini. Budaya popular yang wujud mempunyai pro dan kontranya. Andainya populariti yang disandarkan maka budaya tidak sihat akan menular dikalangan masyarakat dan jika kualiti yang ditekankan maka penonton akan menikmati sebuah budaya yang akan mengubah cara pemikiran, kepercayaan dan cara hidup yang membimbing ke arah masyarakat yang berpendidikan dan penuh dengan unsur-unsur perpaduan dan pembangunan.
Masalah Kajian
Just as with everyday interactions, watching
television has often been seen as a routine, unproblematic, passive process: the meaning of programmes are seen as given and obvious; the viewer is seen as passively receptive and mindless. Again, this simplicity is illusory. In recent years, both interpersonal and mediated communication have been increasingly recognised as complex, rule-governed, constructive set of prosesses. People’s role in such communications must be correspondingly understood as knowledgeable, skilled, motivated, and diverse.
(Sonia Livingstone, 1998)
Televisyen adalah medium komunikasi yang paling berkesan. Melalui televisyen, interaksi antara visual dan penonton akan terjalin. Penonton akan mendapat maklumat, hiburan dan pendidikan melalui medium ini. Situasi ini berlaku setiap hari kerana menonton televisyen adalah rutin seharian yang tak dapat dipisahkan. Filem di televisyen dianggap sebagai medium komunikasi yang bersifat sebagai penyampai kerana berdasarkan kepada aspek komunikasi, filem adalah sebagai jendela dunia, filem sebagai cerminan masyarakat dan pemaparan adat dan budaya.
Bagi memenuhi permintaan, stesyen-stesyen televisyen sentiasa bersaing dalam usaha menarik minat penonton untuk menonton rancangan atau program terbitan mereka. Dengan menyediakan rancangan atau program yang menarik, secara tidak langsung stesyen TV dapat menarik pandangan audien untuk memilih stesyen kegemaran mereka. Setelah stesyen TV itu menjadi pilihan ramai, maka pihak stesyen TV pula mudah untuk mendapat tajaan bagi rancangan atau program yang akan diterbitkan. Pulangan yang diterima pula lumayan.
Berbalik kepada kajian terhadap Filem di Televisyen, ternyata filem-filem yang dipilih untuk tontonan penonton di rumah adalah merupakan filem-filem yang mempunyai tarikan yang tersendiri. Filem yang dimaksudkan bukan sahaja melibatkan filem-filem yang sudah ditayangkan di pawagam tetapi juga filem yang dibikin dalam format video khususnya untuk slot televisyen. Dalam hal ini, majoriti penonton mungkin merasa keliru. Majoriti penonton hanya menganggap bahawa filem adalah untuk tayangan di pawagam sahaja, filem yang ditayangkan di pawagam akan ditayangkan di televisyen hanya selepas dua bulan ditayangkan sebagaimana yang dibuat oleh Astro. Bagi stesyen-stesyen TV yang lain, filem akan ditayangkan di televisyen hanya pada masa dan waktu tertentu seperti Hari Raya Puasa, Hari Kebangsaan dan perayaan-perayaan yang lain. Manakala, majoriti penonton menganggap bahawa cerita dua jam yang ditayangkan di televisyen dipanggil drama TV dan bukannya filem. Sedangkan cerita itu boleh dikategorikan sebagai filem. Yang membezakannya ialah format atau bagaimana ianya dibikin.
Dalam permasalahan ini, perkara utama yang hendak diketengahkan ialah soal pemilihan filem-filem untuk tayangan di televisyen. Tidak kira sama ada filem itu adalah filem yang sudah ditayangkan di pawagam mahupun filem yang dibuat khusus untuk slot televisyen. Pemilihan filem-filem yang telah ditayangkan di pawagam adalah perlu dan filem-filem yang dibikin khusus untuk slot TV juga perlu diambil perhatian. Filem di televisyen akan mempengaruhi minda dan pemikiran penonton kerana filem adalah medium atau media yang berpengaruh terhadap ransangan tertentu, sama ada dari segi kelakuan mahupun pemikiran.
Segala visual yang dipaparkan melalui filem di televisyen akan mencetuskan persepsi masyarakat penonton terhadap apa yang diterima oleh mereka sewaktu menonton. Penonton atau khalayak akan menafsir dan menginterprestasi visual yang dilihat berdasarkan sikap, kepercayaan, pendapat dan motif. Perkara-perkara ini juga akan mempengaruhi persepsi penonton yang membawa kepada penerimaan dan penolakan terhadap sesebuah filem yang ditayangkan di televisyen (Coffey, A., 1985). Filem juga mampu memberi impak yang besar terhadap ideologi, politik, ekonomi dan sosial sesebuah bangsa dan negara.
Televisyen adalah alat komunikasi yang begitu penting lagi berkesan kerana ianya berupaya menentukan ‘agenda harian’ untuk tatapan penonton serta membentuk keperibadian nasional. Matlamat Jabatan Penyiaran Malaysia ialah untuk memberikan hiburan, pendidikan dan maklumat kepada sasaran penontonnya sambil berusaha mencapai cita-cita integrasi nasional, pembangunan sosioekonomi dan menyemai serta memupuk nilai-nilai dan cara hidup yang sesuai. Persoalan juga timbul sama ada televisyen Malaysia setakat ini sebagai alat untuk menyebarkan budaya popular atau budaya tempatan (Mohamad Md. Yusoff, 1993).
Majoriti penonton masih menganggap bahawa televisyen sebagai medium hiburan terpenting kepada mereka. Penonton merasakan bahawa televisyen adalah teman sewaktu mereka keseorangan dan mengisi masa lapang yang terluang. Pemilihan terhadap filem-filem yang berkualiti adalah penting untuk siaran televisyen kerana ianya akan mengubah pemikiran dan persepsi penonton dan masyarakat, secara tidak langsung ianya akan mengubah budaya berfikir. Sekiranya filem-filem yang ditayangkan itu hanya bersandarkan kepada populariti (merujuk kepada filem komersial), penonton diambang bahaya andainya tayangan filem-filem sebegini berterusan. Penonton akan berterusan menganggap bahawa filem sebegitu berupaya memberi hiburan dan terpengaruh dengan budaya yang tidak sihat ini. Prof. Dr. Hatta Azad Khan (28 Mac 2006) menyatakan pendapatnya bahawa :
Filem yang buruk berjaya dan mendapat perhatian ramai kerana stesyen televisyen kerap menyajikan filem-filem sebegitu di televisyen. Jadi, pemikiran masyarakat penonton terutamanya masyarakat Melayu hanya setakat itu sahaja dan tidak boleh melangkau jauh.
Sebagai medium penyampai, filem di televisyen perlu melalui beberapa proses pemilihan dan tapisan. Televisyen harus mempunyai standart untuk memilih filem-filem ke televisyen. Sekiranya, sesebuah filem itu tidak bagus, maka filem itu tidak seharusnya dipertontonkan di televisyen. Ini kerana, filem di televisyen dianggap sebagai pengantar untuk membudayakan pemikiran masyarakat terutamanya masyarakat Melayu (Prof. Dr. Hatta Azad Khan, 28 Mac 2006).
Hasil Kajian
Melihat senario filem di televisyen sebagaimana yang telah ditayangkan atau disiarkan oleh stesyen-stesyen TV di Malaysia, dilihat bahawa filem-filem yang ditayangkan di slot televisyen seperti slot Cerekarama (TV3), Teater Lagenda (TV2), Istimewa Bulan April (TV3), Pentas 1 (TV1) dan lain-lain adalah lebih menjurus kepada cerita atau filem-filem komersial yang mampu menarik audien atau penonton untuk menonton slot itu di televisyen. Filem-filem sebegini sememangnya mendapat tempat dan perhatian penonton. Walaupun bermesej tetapi mesej-mesej tersebut adalah mesej-mesej yang klise. Penonton pula hanya tahu bergelak ketawa dengan apa yang ditonton, seolah-olah filem di televisyen diibaratkan seperti bahan seni murah dan filem yang ditayangkan oleh stesyen-stesyen TV tempatan hanya untuk tujuan itu.
Dalam hal ini, stesyen TV memperolehi untung kerana slot yang ditayangkan itu adalah pilihan majoriti penonton, tetapi dari segi aspek pemikiran, penonton menghadapi senario atau keadaan yang parah untuk jangka masa yang panjang.
Menerbitkan filem hanya atas tuntutan komersial semata-mata bagi kalangan pembikin filem tempatan, akan dianggap satu tindakan yang tidak bijak. Sesuatu yang dianggap terlalu berkiblat kepada kebendaan, dikhuatiri akan mengakibatkan nilai murni turut terkorban.
(Adman Salleh, 2004)
Sekiranya filem di televisyen tidak diterap dengan nilai pemikiran atau ideologi yang seimbang, masyarakat penonton akan menghadapi permasalahan berfikir. Bagi penonton yang cerdik dan mempunyai latar pendidikan yang tinggi, sudah pasti bahan yang hendak ditonton itu adalah filem seni yang berkualiti dan kreatif. Tetapi, golongan ini adalah minoriti. Bagi masyarakat penonton luar bandar dan pedalaman, andainya filem-filem yang ditayangkan di televisyen itu tidak berupaya menjana pemikiran dan budaya berfikir, maka mereka akan menghadapi masalah dalam perkara ini.
Melalui pengkajian Filem di Televisyen, peranan stesyen TV dan penonton adalah penting dalam mengubah cara pemilihan filem untuk tontonan. Filem-filem ringan atau tidak berkualiti diangkat dan menjadi pilihan ramai adalah kerana karyawan filem dan pembiaya bersifat memperolehi untung. Karyawan filem dan pembiaya yang dimaksudkan juga terus bertakhta dihati penonton kerana penonton memberi sokongan terhadap filem-filem sebegini serta lambakan filem-filem berkenaan di pasaran. Dalam perkara ini, penonton tiada pilihan. Penonton yang bersikap memilih akan menonton filem dari luar negara yang disifatkan oleh mereka sebagai filem berkualiti berbanding dengan filem tempatan.
Karyawan filem perlu ingat bahawa generasi masyarakat penonton sekarang didedahkan dengan filem antarabangsa yang hebat mutunya. Penonton tempatan bukanlah boleh disajikan dengan apa-apa sahaja mengikut resepi penerbit dan pengarah filem.
(Anis Sofia Azman, 2004)
Menyedari akan hakikat ini, saya berpendapat bahawa sebelum mengubah pandangan atau pemikiran penonton ke arah yang lebih agresif, pihak karyawan, pembiaya dan stesyen televisyen tempatan adalah kumpulan pertama yang perlu mengubah cara pemikiran kerana mereka mempunyai tanggungjawab sosial yang besar dalam menghasilkan karya yang kreatif dan berkualiti.
Kreativiti dalam penghasilan karya amatlah penting. Kreativiti dapat dihasilkan melalui penyelidikan, dan itulah kejayaan sesebuah karya, memaparkan sesuatu yang belum diketahui umum.
(Abd. Razak Abu Bakar, 2004)
Penghasilan visual atau cerita yang berkualiti, kreatif atau yang mempunyai standart adalah berdasarkan kepada buah fikiran penulis skrip yang menterjemahkan idea atau pemikirannya melalui skrip yang ditulis berdasarkan kajian dan penyelidikan. Untuk penghasilan sesebuah filem sama ada untuk tayangan pawagam atau televisyen, skrip adalah perkara utama yang perlu dititik beratkan sebelum kerja-kerja memvisualkan skrip itu dibuat. Tapisan atau suntingan skrip adalah perlu bagi melengkapkan sebuah cerita yang berkualiti.
Menonton filem di televisyen adalah budaya masyarakat kini. Melalui medium ini, stesyen TV perlu menghadkan, menapis dan menolak filem-filem yang rendah kualitinya. Stesyen TV juga perlu memikirkan budaya yang bagaimana hendak mereka cernakan atau terapkan kepada masyarakat penonton. Walaupun filem dianggap sebagai bahan hiburan, filem tidak seharusnya dianggap berterusan sebagai bahan hiburan semata-mata, tetapi filem perlu dianggap sebagai medium yang menyarankan perubahan, pendidikan, sikap, pegangan atau falsafah, kritikan dan apresiasi. Setiap filem yang dihasilkan sama ada untuk tayangan di pawagam atau slot TV adalah bersifat hiburan tetapi hiburan yang dimaksudkan bukan sekadar hiburan gelak ketawa semata-mata tetapi hiburan yang sarat dengan informasi. Jadi, dalam meletakkan filem sebagai hiburan, persoalan yang timbul ialah hiburan yang bagaimana yang hendak dipertontonkan kepada khalayak? Seratus peratus hiburan yang tidak membawa apa-apa makna atau hiburan intelek.
Kesimpulan
Television may play a restructuring role for viewer’s cognition. In other words, through their narrative requirements for consistency, coherences, and redundancy, programmes may organise people’s beliefs and frames of thinking in specific, robust, often simplified ways, creating dichotomies and oppositions, forming association and connotation, not previously used by the viewers.
(Livingstone, Sonia, 1998)
Televisyen adalah medium yang berpengaruh terhadap penonton. Sebagai sebuah medium yang bersifat mempengaruhi, stesyen televisyen mestilah memainkan peranan penting dalam menyajikan bentuk atau jenis filem melalui slot yang disediakan. Stesyen TV juga tidak seharusnya tunduk terhadap tuntutan komersial sahaja, tetapi perlu menilai semula filem-filem yang dipilih demi memupuk budaya berfikir dan intelek dikalangan penonton tempatan. Masyarakat Malaysia kurang membaca, jika sajian filem ‘sampah’ dipertontonkan maka ‘sampah’ juga yang dihasilkan melalui pemikiran masyarakat. Jadi, sebagai bahan atau medium yang menyampaikan ideologi-ideologi tertentu stesyen TV mestilah menyajikan filem-filem seni, kreatif dan tinggi nilai kualitinya agar mampu mengubah persepsi, budaya berfikir dan tingkahlaku masyarakat penonton. Menurut Mastura Muhammad (2005) :
Aktiviti menonton tidak sekadar menonton sebaliknya membaca dan mengkritik.
Filem di televisyen merupakan salah satu proses menganjurkan penonton terhadap pandangan dan pendapat bagi mengkritik dan menyatakan pandangan terhadap apa yang ditonton. Filem yang perlu ditonton adalah filem yang memaparkan aspek propaganda, ideologi politik, ekonomi, sosial, budaya, keagamaan dan kepercayaan sesebuah bangsa dan negara. Aspek ini adalah perlu bagi memperluaskan proses berfikir di kalangan masyarakat penonton kerana menurut Azim Syafi (2004), filem ialah cermin budaya sesuatu bangsa yang membawa imej negara. Jadi, karyawan filem, pembiaya dan stesyen TV tempatan hendaklah mengubah cara pemikiran dalam membikin atau memilih filem untuk televisyen yang mempunyai mesej dan maklumat, pengajaran dan pembangunan minda masyarakat kerana filem adalah lambang identiti nasional sesebuah negara. Halloran (1970) dalam Livingstone, Sonia (1998) menyatakan bahawa :
Television may provide viewers with ‘pictures of the world, the definitions of the situation and problems, the explainations, alternative remedies and solutions’.
Sebagai satu budaya popular, menonton filem di televisyen perlu dilihat dari sudut pandangan budaya. Filem di televisyen bukan sahaja untuk mengaut keuntungan semata-mata tetapi melihat atau menonton filem itu sebagai pemaparan sosial, ideologi dan sikap yang cuba disampaikan kepada penonton.
Rujukan
A. Razak Mohaideen. (2004). Industri Filem Filem Kita :
Permasalahan dan Masa Depannya. Jurnal Skrin Malaysia Fakulti Seni Persembahan Vol. 1. Shah Alam : Pusat Penerbitan Universiti (UPENA), UiTM.
Abd. Razak Abu Bakar. Nota Editor : Kreativiti Dalam
Perfileman. Dewan Budaya. Mei 2004.
Adib Anas. Temuramah Bersama Prof. Dr. Hatta Azad Khan.
28 Mac 2006.
Adman Salleh. Karya Sastera Ke Filem : Kelebihan dan
Permasalahannya. Dewan Budaya. Oktober 2004.
Anis Sofea Azman. Pakatan Strategik Karyawan Filem. Dewan
Budaya. Disember 2004.
Ayu Haswida Abu Bakar. Nota Kuliah : Teori Apresiasi Filem.
31 Disember 2003.
Coffey, A. (1985). Understanding and Managing Organizational Behaviour. Illinois : Richard CO.
Johnson, Ron & Bone, Jan. (1994). An Introduction to Film Appreciation : Understanding the Film. Lincolnwood : Natinol Text Book Company.
Kendall, Diana. (2000). Sociology In Our Times : The
Essentials 2. United States of America : Wadsworth
Thomson Learning.
Livingstone, Sonia. (1998). Making Sense of Television :
The Psychology of Audience Intepretation. New
York : Routledge.
Mastura Muhammad. (2005). Audien :Konsep, Teori, Penggunaan
dan Kepuasan. Jurnal Skrin Malaysia Fakulti Seni Persembahan Vol. 2. Shah Alam : Pusat Penerbitan Universiti (UPENA), UiTM.
Mohamad Md. Yusoff. (1993). Media dan Masyarakat : Satu
Kumpulan Esei. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
dan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Lampiran
Teks Temuramah Bersama Prof. Dr. Hatta Azad Khan
Oleh Adib Anas (28 Mac 2006)
Stesyen televisyen mempunyai slot filem. Stesyen TV juga mempunyai filem khas untuk siaran TV tetapi tidak ditayangkan di pawagam. Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) tidak hanya tapis filem Melayu, tetapi tumpuan juga diberikan kepada mutu filem itu sendiri. Televisyen perlu ada standart untuk memilih filem ke televisyen. Jika sesebuah filem itu tidak bagus, maka filem itu tidak perlu untuk tontonan penonton. Walaupun, pihak stesyen TV hendak membantu syarikat produksi filem, stesyen TV boleh berbuat demikian tetapi hanya dengan sekali dan bukannya berulang kali. Perkara yang perlu diambil kira untuk tayangan sesebuah filem di televisyen ialah mutu, kandungan dan lakonan.
Filem yang menang anugerah perlu ditayangkan ke TV. Ini kerana filem-filem yang pernah memenangi anugerah dapat membudayakan pemikiran masyarakat Melayu terutamanya. Filem yang buruk berjaya dan mendapat perhatian ramai kerana stesyen televisyen kerap menyajikan filem-filem sebegitu di televisyen. Jadi, pemikiran masyarakat penonton terutamanya masyarakat Melayu hanya setakat itu sahaja dan tidak boleh melangkau jauh. Sekiranya, sesebuah filem itu tidak bagus, maka filem itu tidak seharusnya dipertontonkan di televisyen. Ini kerana, filem di televisyen dianggap sebagai pengantar untuk membudayakan pemikiran masyarakat terutamanya masyarakat Melayu. Secara tidak langsung ianya akan merosakkan fikiran orang Melayu melalui budaya yang disebarkan melalui TV. Stesyen TV juga membudayakan filem yang rendah kualiti.
Filem dari segi naratif, filem dianggap sebagai seni rekaan. Filem, tidak dirujuk sebagai bahan atau cara melakukannya. Perkataan filem itu sendiri sudah menjadi generic term. Apa-apa cerita yang divisualkan boleh dikategorikan sebagai filem sama ada untuk tayangan di pawagam mahupun di televisyen kerana yang membezakannya ialah teknik rakaman. Perkataan filem ini boleh digunakan walaupun cerita itu dibikin atau divisualkan melalui format video mahupun filem. Filem juga ditakrifkan sebagai produk atau seni plastik yang dihasilkan melalui rakaman kerana melalui produk filem pengkarya yang merujuk kepada karyawan memberi nama atau judul filem untuk sesebuah drama cerita rekaan atau cereka (dramatic feature). Filem adalah satu produk seni yang yang bercerita hasil daripada rakaman.
